Wednesday, 18 June 2014

Kejahilan ilmu dunia khianat terhadap agama

Kejahilan ilmu dunia khianat terhadap agama

Ditulis oleh Nor Azaruddin Husni Bin Hj. Nuruddin.


WARNA penting dalam kehidupan seharian sama ada secara langsung atau tidak langsung. Warna juga boleh menentukan peraturan. Contohnya, lampu isyarat menentukan peraturan lalu lintas dan melanggar lampu merah boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Begitu juga dengan kilauan lampu merah pada ambulans yang memberi isyarat supaya pengguna jalan raya memberikan laluan. Warna merah selalunya dikaitkan dengan tanda amaran. Apakah kelebihan warna merah?

Amaran sama, tetapi dalam bentuk tulisan seperti "had laju 110 km/j", ia kurang memberikan kesan kepada masyarakat. Mengapa? Apakah kerana warna merah itu mempunyai jarak gelombang yang panjang atau darjah serakan yang pendek? Adakah kerana itu warna merah lebih dipatuhi?

Tetapi apa yang lebih menarik di sini ialah kaitan warna dengan perubatan tradisional. Bagi sesetengah masyarakat, petua orang tua-tua mengatakan bahawa apabila menghidap penyakit beguk, kita menyapu nila yang dicampur dengan cuka untuk menyembuhkannya.

Satu ketika dulu, saya pernah menyapukan pewarna air biru ke atas adik yang ketika itu menghidap beguk dan penyakit itu pun sembuh.

Apakah penyakit itu sembuh disebabkan oleh nila, pewarna air, warna biru atau kebetulan? Mengapa? Apakah kaitan warna biru dengan bahagian leher itu?

Sehubungan itu, al-Quran ada menyebut mengenai warna.
Firman Allah bermaksud: "Dan demikian pula antara manusia dan bintang-bintang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya. Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah di kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun." (Surah Fathir, ayat 28)
Sesungguhnya Allah menyebutkan perbezaan warna yang dijadikan-Nya adalah bukti kebesaran-Nya.
Dalam penciptaan langit dan bumi, Allah menciptakan makhluk-Nya daripada pelbagai warna. Mengapa? Apakah hikmah di sebaliknya? Hanya orang yang berilmu kerana Allah saja yang paling takut-Nya dan sesiapa yang tidak takutkan Allah bukanlah dia daripada orang yang berilmu.
Apakah sama orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu?

Firman Allah bermaksud : "(Engkau yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah (kepadanya): Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang yang berakal sempurna." (Surah az-Zumar, ayat 9)

Apakah yang dimaksudkan dengan orang yang berilmu itu? Dalam konteks ini, pengertian orang yang berilmu itu ialah mereka yang mengetahui dan mengkaji rahsia alam warna yang boleh terhasil daripada perbezaan kadar cahaya yang diterima oleh sel kon.

Bagi warna putih dan hitam, sel kod memainkan peranan. Manusia tidak mampu untuk mencipta warna. Kemampuan manusia hanya mengadun warna primer seperti merah, biru dan hijau yang dijadikan oleh Allah untuk mendapatkan warna sekunder.

Begitulah Allah yang menjadikan kejadian manusia dan warna saling berkait. Allah Maha Pencipta dan Maha Kaya.

Warna dari sudut sains disebabkan oleh pigmen. Pigmen ini boleh memantulkan cahaya atau menyerap cahaya pada panjang gelombang tertentu. Antara sebatian pigmen adalah seperti sepiapterin (kuning), biopterin (biru), xantopterin (hijau-biru) dan isoxantopterin (ungu-biru).
Sehubungan itu, dalam memperkatakan sains dari perspektif Islam mungkin boleh disingkap sejarah lampau.

Pada akhir abad ke-10 berlaku kegiatan terjemahan sains Islam kepada sains Barat yang diusahakan oleh masyarakat Kristian al-Andalus yang digelar Muzarab. Pada masa itu antara pusat penterjemahan yang aktif, termasuk Monastery Katalan di Ripoll dan Monastery Albeda di Barcelona, Sepanyol.

Apa yang menarik di sini ialah kegiatan terjemahan yang dilakukan hanya tertumpu pada bidang sains. Buku mengenai hadis, syariah dan usuluddin tidak diterjemahkan ke bahasa Latin.
Kini, kemajuan sains dan teknologi Barat membuatkan umat Islam tertindas. Apakah mungkin negara Islam dapat mengembalikan zaman kegemilangannya? Apakah masih ada Ibnu Sina yang akan lahir pada abad ke-21 ini? Apakah kelengkapan dulu serba canggih berbanding zaman era revolusi digital ini?

Setiap asas teori yang terkandung dalam al-Quran adalah benar dan tidak ada keraguan baginya. Perkataan Al-Hikmah dalam al-Quran membawa banyak makna dan pengertian. Antaranya ialah 'sesuatu yang dapat menyempurnakan jiwa manusia dengannya dalam bentuk ilmu pengetahuan dan hukum-hakam.'

Firman Allah bermaksud : "Dan (juga kerana) Allah telah menurunkan kitab dan hikmah kepadamu dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui." (Surah an-Nisaa', ayat 113)
Menyentuh hikmah dan ilmu ini, Profesor Subhi Naddeem Al-Maradini menyusun sebuah kitab yang berkisar mengenai kata-kata hikmah Lukman antaranya:

Suatu hari...
Dia memanggil anaknya
Dan menasihatinya agar
Anaknya itu mendapat petunjuk
Dengan kata-kata nasihat
Dan ilmu yang bercahaya
Lantaran dengan ilmu
Seseorang diangkat martabatnya
Di dunia ini
Sementara di akhirat pula
Kekal abadi
Di dalam syurga
Bersama sang bidadari

Akhir sekali, minda Muslim dalam konteks globalisasi ini ialah minda yang mesra alam. Ia mempersepsikan alam sebagai nikmat dan sekali gus amanah Allah yang harus disyukuri.

Kejahilan terhadap ilmu keduniaan adalah pengkhianatan besar terhadap agama Islam dan al-Quran.

Ia juga pengkhianatan agama dan kemanusiaan terhadap risalah Nabi Adam yang mengajarkan kita semua nama benda serta dipermudahkan bumi ini dan memungkinkan untuk menguasai lautan dan angkasa.

No comments:

Post a Comment